60 HARI MENUJU RAMADAN AL-MUBARAK
January 21, 2023Cukuplah Allah SWT Sebagai Penolong Dan Pelindung
January 26, 2023MARHABAN YA REJAB
Rejab mula menyapa kita kembali. Salam 1 Rejab 1444H daripada kami Pengerusi, Penggerak dan Sukarelawan MCG kepada seluruh Umat Islam.
Ketibaan Bulan Rejab menandakan bahawa hanya berbaki 2 bulan sahaja lagi untuk kita menyambut kehadiran bulan Ramadan, bulan yang dirindui oleh seluruh umat Islam.
Justeru, MCG ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita sama-sama berusaha memperbaiki diri dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan bertemu dengan bulan penuh keampunan Bulan Ramadan tahun ini.
Sempena meraikan bulan Rejab, kami MCG ingin berkongsi dan mengajak sahabat-sahabat untuk bersama-sama menghayati perkongsian ringkas 5 peristiwa yang berlaku di Bulan Rejab serta mengambil pengajaran dan ibrah yang terdapat dari peristiwa tersebut.
5 PERISTIWA DI BULAN REJAB
Perjalanan Isra’ Mikraj Rasulullah SAW
Peristiwa agung yang berlaku pada 27 Rejab itu adalah sebuah perjalanan Rasulullah SAW daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Dibelah dada Baginda dan dibersihkan dengan air zamzam daripada sebarang sifat yang buruk. Baginda kemudian diangkat bertemu Allah SWT dan Allah SWT memerintahkan kewajipan untuk mendirikan Solat 5 Waktu bagi seluruh umat Baginda SAW.
Penghijrahan Pertama Ke Habsyah
Akibat daripada tekanan, seksaan dan ancaman yang diberikan oleh musyrikin Makkah ke atas Rasulullah SAW dan pengikutnya. Demi menjaga dan menyelamatkan diri dan akidah umat Islam di Makkah, Baginda mengarahkan mereka untuk berhijrah buat pertama kalinya ke Habsyah. Walaupun Raja Habsyah ketika itu bukan beragama Islam tetapi Raja Habsyah seorang yang baik dan menjamin keselamatan umat Islam.
Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk adalah peperangan yang berlaku pada tahun 9 Hijrah di antara tentera Rom dan tentera Islam di Tabuk yang terletak di antara Hijjaz dan Rom. Peperangan ini tidak berlaku sebarang pertempuran kerana tentera Rom yang melarikan diri disebabkan gerun dan takut dengan kekuatan serta kecekalan umat Islam.
Lahirnya Imam Syafie
Imam Syafie merupakan pengasas mazhab Syafie yang sehingga kini menjadi rujukan utama dalam bidang fikah di negara kita. Beliau telah dilahirkan pada tahun 767 masihi bersamaan 150 Hijrah. Kelahiran Imam Syafie adalah pada tahun yang sama dengan wafatnya ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Madzhab Hanafi).
Pembebasan Kedua Baitul Maqdis
Pembukaan Kota Baitul Maqdis yang pertama adalah pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab. Selama 462 tahun dibawah pemerintahan Kerajaan Islam, Baitul Maqdis telah dirampas oleh tentera Salib pada tahun 1099M. Kemudiannya, Sultan Salahudin Al-Ayubi berjaya mengalahkan tentera Salib pada 1187M telah menjadi tanda pembebasan kedua Baitul Maqdis.
Semoga dengan penghayatan hikmah disebalik peristiwa2 yang berlaku di bulan Rejab ini, ianya dapat memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT dengan penuh keikhlasan serta merasai kemanisan dalam beramal.
Moga Allah SWT sentiasa merahmati, mengampuni dosa-dosa kita dan memilih kita semua menjadi tetamu Ramadan,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’aban, serta sampaikanlah kami dengan bulan Ramadan.”
Allahumma Aamiin.
Setiausaha Agung,
MCG (Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global)
012-6935938