Ilmu Pengetahuan Mampu Membahagiakan: Perlunya Menuntut Ilmu Menurut Islam
February 16, 2023KEMPEN PENAJAAN TEPUNG DAN OPERASI KILANG ROTI MCG DI AZAZ SYRIA
February 23, 2023Misi MCG Menyantuni Mangsa Gempa Bumi Cianjur Indonesia Ke2 Akan Beroperasi Dari 18hb. Hingga 21hb. Februari 2023
Assalamualaikum WBT Sahabat-sahabat Yang Dirahmati Allah SWT.
Hari ini, 27 Rejab 1444H bersamaan 18hb. Februari 2023. Sempena memperingati satu Peristiwa Agung yang mengangkat kedudukan dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW, kami Pengerusi dan Penggerak NGO MCG ingin mengajak rakan-rakan semua untuk bersama-sama menghayati dan memahami pengajaran serta ibrah yang terdapat dalam peristiwa besar ini.
Peristiwa perjalanan singkat Rasulullah SAW daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian Rasulullah SAW diangkat naik ke Sidratul Muntaha bertemu Allah SWT merupakan salah satu mukjizat agung Baginda SAW.
Melalui peristiwa Israk Mikraj ini banyak pengajaran dan iktibar kepada umat Islam dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israa’, Ayat 1 :
Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Disini kami kongsikan perkongsian mengenai peristiwa2 yang dilihat Rasulullah SAW sepanjang beberapa peristiwa Israk dan Mikraj sebagai rujukan dan panduan Sahabat-sahabat.
Antara Peristiwa2 Yang Dilihat Oleh Rasulullah SAW Sepanjang Peristiwa Israk Mikraj
Balasan Kepada Mereka Yang Suka Mengumpat
Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Balasan Kepada Para Khatib Yang Melupakan Diri
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab: ‘Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. tidakkah mereka menggunakan akalnya?”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Haruman Masyitah
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila Baginda SAW bertanya pada Jibril AS, Jibril menjawab: “Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya. Ketika mengambil sikat itu ia berkata, ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH).’ Lalu anak perempuan Firaun bertanya: ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebuntukan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Nabi2 Terdahulu Bersama Umat Mereka
Ibn Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Nabi Muhammad SAW melintasi Nabi-Nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada Nabi yang umatnya satu kaum, ada Nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada Nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian Baginda SAW melihat lautan manusia yang besar. Apabila Baginda bertanya: “Siapa mereka? Dijawab kepada Baginda SAW: “Itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi Muhammad SAW: “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.” Apabila Rasulullah SAW melihatnya, dikatakan kepada Baginda: “Itulah umatmu. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Moga dari peringatan dan perkongsian ringkas ini akan membangkitkan penghayatan serta pemahaman yang lebih mendalam kepada kita semua.
Moga Allah SWT menganugerahkan kita semua peningkatan keimanan dan ketaqwaan kepadaNya serta kecintaan yang mendalam kepada Nabi Muhammad SAW disamping dapat membantu kita melihat dengan jelas kebenaran yang hakiki sepertimana yang Allah SWT anugerahkan kepada Saidina Abu Bakar As Siddiq RA dan juga Sahabat-sahabat Nabi SAW yang lain.
Ya Allah Ya Tuhan kami. Masukkan kami di dalam golongan yang akan menerima Syafaat NabiMu Nabi Muhammad SAW di Akhirat kelak.
Allahumma Aamiin.
Setiausaha Agung,
MCG (Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global)
012-6935938