Bayangkan kita menunaikan solat di masjid yang lengkap dengan sejadah, kipas, dan bumbung yang melindungi daripada panas dan hujan… namun ada saudara seagama kita di pelosok dunia lain menunaikan solat dalam ruang serba kekurangan, tanpa keselesaan dan kemudahan yang lengkap. Inilah realiti yang mereka lalui setiap hari, tetapi semangat untuk beribadah tetap tidak pudar.
Di Anjouan, sebuah pulau kecil di Comoros, masyarakat Muslim hidup dalam kekurangan, namun mereka tetap mendambakan rumah Allah yang selesa untuk beribadah, menuntut ilmu, dan medan menyatukan ummah.
Menyedari keperluan ini, MCG mengambil langkah membantu mereka melalui Projek Pembinaan Masjid Al-Anwar, di bawah kempen Wakaf 4 Ummah. Projek ini bukan sekadar membina masjid, tetapi membina harapan dan masa depan umat Islam di wilayah tersebut.
Masjid Al-Anwar di Pekan Mutsamudu dirancang menjadi rujukan utama penduduk tempatan dan pelancong Islam. Dengan tapak 40 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, masjid ini dijangka menjadi mercu tanda kebanggaan Islam di sana Sokongan umat Islam seluruh dunia amat diperlukan agar impian masyarakat setempat dapat direalisasikan.
“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Selain itu, masjid ini bakal menjadi pusat ilmu dan dakwah, tempat ibadah yang lebih selesa, serta wadah memperkukuh hubungan sesama umat Islam. Ia juga diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat, sekali gus menjadikan Islam terus berkembang di bumi Comoros.
Seiring dengan impak yang bakal dibawa masjid ini, MCG menyeru seluruh umat Islam untuk bersama-sama menjayakan Projek Pembinaan Masjid Al-Anwar. Inilah peluang kita menjadi sebahagian daripada pembina rumah Allah di bumi asing. Sumbangan kecil di dunia mungkin menjadi sebab besar untuk kita mendapat tempat di syurga.
Semoga setiap infaq dan wakaf yang disalurkan diterima Allah SWT, dan menempatkan para penyumbang di kalangan ahli syurga yang dijanjikan.
Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia (Muslim Care Global @ MCG) berdaftar dibawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 14 Mac 2018 (PPM-025-10-14032018).

























© 2023 Muslim Care Global